Pada 16 Februari 2019, saya dan rakan-rakan dari Brader Motor MKM (BMMKM) telah menyertai program amal Ziarah En. Muhammad Izzuddin Ramli di Bukit Gambir, Muar Johor yang terlibat dengan kemalangan jalan raya pada bulan Disember 2018. Beliau adalah bekas Pekerja Sambilan Harian (PSH) di Maktab Koperasi Malaysia yang berkhidmat selama setahun dari tahun 2016 sehingga 2017 sebelum mendapat peluang pekerjaan di tempat lain. Selain itu beliau juga merupakan bekas penuntut pengajian Diploma MKM. Prihatin dengan nasib yang menimpa En. Muhammad Izzuddin, pihak KSSMKM telah membuat kutipan derma bagi membantu sedikit sebanyak kos rawatan yang ditanggung keluarga beliau.
Program amal yang di anjurkan oleh Kelab Sukan dan Sosial MKM (KSSMKM) dan Badan Kebajikan Kakitangan Islam MKM (BAKIM) mendapat penyertaan seramai 20 orang terdiri daripada kakitangan MKM dan juga bekas penuntut Diploma MKM. Konvoi yang diketuai oleh Pengerusi KSSMKM (En. Faiz Ahmad Yatim) bersama-sama 10 buah motosikal dan sebuah kenderaan jabatan telah bergerak dari MKM pada pukul 9.00 pagi. Kami bergerak melalui Lebuhraya Baru Pantai/E10 sebelum memasuki Lebuhraya Utara-Selatan/E2. Sepanjang perjalanan aliran trafik sangat lancar dan cuaca juga amat baik. Seperti biasa kami berhenti untuk mengisi minyak dan berehat sebentar di Hentian Rawat dan Rehat sebelum menyambung semula perjalanan.
Kami tiba di kediaman keluarga En. Muhammad Izzuddin pada pukul 12.00 tengah hari. Kedatangan kami telah disambut oleh En. Ramli Abu Hassan iaitu ayah kepada En. Muhammad Izzuddin dan En. Muhammad Shafiq Mohd Noor yang juga merupakan kakitangan MKM dan juga sepupu kepada Encik Muhammad Izzuddin sendiri. Kami telah dijemput untuk masuk ke dalam rumah dan bertemu dengan ahli keluarga yang lain. Kami berasa amat sebak apabila bertemu dan melihat keadaan beliau yang masih lemah serta masih terdapat kesan lebam akibat kecederaan yang teruk di kepala. Kami mengambil peluang untuk berbual-bual dan memberikan kata-kata semangat kepada beliau untuk kembali pulih dan sihat seperti biasa. Sekali-sekali beliau masih boleh memberikan senyuman dan gelak ketawa apabila kami bertanyakan soalan yang berbentuk usikan. Menurut ayah beliau, beliau perlu dirawat dan dirujuk di Hospital Kuala Lumpur (HKL). Beliau juga turut membuat rawatan fisioterapi di Hospital Tangkak Johor pada setiap minggu. Turut hadir dalam kunjungan ziarah ke kediaman En. Muhammad Izzuddin adalah Pn. Roziah Mohamed (Pengarah MKM Zon Selatan).
Sebelum pulang kami telah dijemput oleh ahli keluarga beliau untuk makan tengah hari bersama. Terima kasih kami ucapkan kepada pihak keluarga beliau kerana memberikan layanan yang mesra serta menjemput kami makan tengah hari. Selesai sahaja makan, En. Faiz (Selaku Pengerusi KSSMKM) telah memberikan sedikit ucapan ringkas serta ucapan terima kasih. Pihak KSSMKM dan BAKIM telah menyediakan sedikit sumbangan untuk En. Muhammad Izzuddin bagi meringankan beban perbelanjaan untuk membeli pelbagai barangan keperluan harian beliau. Sumbangan dari pihak KSSMKM telah disampaikan oleh En. Faiz manakala sumbangan dari pihak BAKIM pula telah diwakili oleh En. Muhammad Shafiq. Sebelum bersurai En. Ramli memberikan ucapan penghargaan terima kasih di atas sumbangan yang telah beliau terima dan beliau amat terharu dengan kehadiran kami semua. Kami dari Pihak KSSMKM, BAKIM, BMMKM dan juga rakan-rakan yang lain mendoakan supaya En. Muhammad Izzuddin cepat pulih dan kembali sihat seperti biasa. Kami bertolak dari rumah En. Muhammad Izzuddin pada pukul 2.30 petang.
Oleh kerana bahang cuaca pada petang itu sangat terik kami telah membuat keputusan untuk singgah sebentar di Bandar Tangkak untuk menghilangkan rasa dahaga. Kami berehat sebentar dan menikmati cendol sagu rumbia yang cukup terkenal di Bandar Tangkak. Tepat pukul 3.30 petang kami menyambung semula perjalanan ke Kuala Lumpur.
Kami ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Kelab Sukan dan Sosial (KSSMKM), Badan Kebajikan Kakitangan Islam MKM (BAKIM) dan rakan-rakan yang lain kerana bersama-sama menjayakan program amal pada kali ini. Tanpa sokongan dari semua pihak program ini tidak akan terlaksana.
Sepanjang perjalanan pulang aliran trafik berjalan dengan lancar. Kami tiba dengan selamat dan konvoi tamat pada pukul 6.30 petang.