Pada 27 Januari 2019, Brader Motor MKM telah melakukan konvoi ke Teluk Intan, Perak bersempena Majlis Perkahwinan En. Muhamad Nur Fahmi yang melangsungkan perkahwinannya pada minggu lalu. Seramai 13 orang telah menyertai konvoi bermotosikal ke Teluk Intan. Saya dan beberapa rakan yang lain telah berkumpul di MKM sebelum memulakan perjalanan. Tepat pukul 8.30 pagi kami bertolak melalui Lebuhraya Sprint ke Lebuhraya Duta sebelum memasuki laluan ke Lebuhraya Utara-Selatan/AH2/E1. Kami singgah berhenti sebentar di Hentian Rawat dan Rehat Rawang untuk bertemu dengan rakan-rakan yang lain yang telah menunggu kami di situ. Setelah berehat selama 10 minit kami meneruskan semula perjalanan. Aliran trafik di Lebuhraya pada waktu itu sangat baik dan kami bergerak dengan lancar tanpa sebarang masalah.
Kami tiba di destinasi pada pukul 12.00 tengah hari. Setibanya disana kami dijemput oleh ahli keluarga pengantin (Selaku tuan rumah) untuk menjamu selera. Pelbagai juadah lauk pauk yang disediakan. Antara lauk yang menjadi pilihan kami semua ialah Rendang Tok dan juga Ikan Pekasam. Selain menu utama, turut disediakan pemanis mulut seperti Cendol dan Cakoy yang begitu menyelerakan. Sebaik sahaja mengambil hidangan kami duduk makan beramai-ramai berdekatan dengan meja pengantin. Suasana semakin meriah dengan kehadiran para tetamu dan juga sanak saudara pengantin yang terdekat. Di sana kami bertemu dengan rakan-rakan sekerja yang datang menaiki kenderaan jabatan. Selasai sahaja menjamu selera kami berbual-bual sementara menunggu pengantin makan beradab. Lima belas minit kemudian setelah pengantin selesai makan beradab kami bertemu dengan pasangan pengantin dan mengambil peluang bergambar bersama-sama. Pihak KSSMKM dan BMMKM ingin mengucapakan selamat pengatin baharu kepada En. Muhamad Nur Fahmi dan pasangannya dan semoga berbahagia selalu. Tepat pukul 1.00 petang kami beredar dari rumah pengantin.
Kami menerusakan perjalanan menuju ke Bandar Teluk Intan. Menara Condong Teluk Intan adalah destinasi pilihan kami yang seterusnya. Kami mengambil peluang melihat sendiri keunikan bangunan Menara Condong yang sangat terkenal di Bandar Teluk Intan. Menurut sejarah dahulunya Menara Condong ialah Menara Tangki Air yang kemudiannya dijadikan Merana Jam. Ianya telah menjadi mercu tanda kepada Bandar Teluk Intan.
Kami berhenti untuk solat zuhur sebentar di Masjid berdekatan dan bergerak pulang ke Kuala Lumpur pada pukul 2.00 petang. Semasa perjalanan pulang salah seorang daripada kami telah mengalami kerosakan motosikal. Kami membuat keputusan untuk berhenti sebentar sementara menunggu motosikal tersebut diperiksa dan dibaiki. Mujur kerosakan yang dialami tidak teruk dan masih boleh dihidupkan lagi. Selepas 15 minit berehat kami meneruskan perjalanan walaupun motosikal tersebut masih lagi tidak berfungsi dengan baik. Sepanjang perjalan kami hanya menunggang dengan kelajuan 70km sejam sahaja. Terima kasih dan syabas di ucapkan kepada rakan-rakan yang bersama-sama memberikan kerjasama dan pertolongan semasa berlakunya kerosakan motosikal.
Kami juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Kelab Sukan dan Sosial (KSSMKM) kerana banyak memberikan sokongan kepada Brader Motor MKM (BMMKM) dalam menjayakan aktiviti berkonvoi ke Teluk Intan pada kali ini.
Sepanjang perjalanan pulang aliran trafik berjalan dengan lancar. Kami tiba dengan selamat dan konvoi tamat pada pukul 6.40 petang.