Pada 2 Mac 2019, Brader Motor MKM bersama-sama dengan bekas penuntut Diploma MKM telah melakukan konvoi ke Kedai Makan Selera Patin Bangau di Bandar Temerloh Pahang. Seramai 15 buah motosikal yang terlibat dalam konvoi pada kali ini. Tepat pukul 8 pagi kami mula bergerak melalui Lebuhraya Persekutuan menuju ke Lebuhraya Grand Saga sebelum memasuki Pekan Batu 14, Hulu Langat, Selangor untuk berhenti mengisi minyak dan bertemu dengan rakan-rakan yang lain yang telah menunggu kami di sana. Untuk konvoi pada kali ini kami memilih untuk menggunakan laluan jalan raya biasa untuk ke Temerloh. Kami meneruskan semula perjalanan pada pukul 9.30 pagi.
Perjalanan kami dari Pekan Batu 14, Hulu Langat menuju ke Kuala Klawang, Negeri Sembilan sangat mencabar kerana selain kaya dengan keindahan flora dan fuana, jalan raya sepanjang 58.6 km ini juga mempunyai banyak selekoh tajam semada mendatar, mendaki bukit dan menuruni bukit. Keadaan jalan berbukit dan berselekoh tajam memang mencabar buat penunggang motosikal yang tidak biasa dengan keadaan seperti ini. Bagi rakan-rakan yang sudah biasa dan kerap menggunakan jalan yang berselekoh mereka tetap berhati-hati apabila menyusuri selekoh yang tajam. Ini kerana kami di BMMKM sangat mementingkan keselamatan dan mematuhi peraturan jalan raya semasa menunggang di atas jalan raya. Selapas 1 jam melalui jalan-jalan berbukit dan berselekoh akhirnya kami tiba di di Pekan Kuala Klawang dan berhenti sebentar untuk mengisi minyak.
Perjalan kami di teruskan lagi sehingga ke Simpang Pertang, Negeri Sembilan. Oleh kerana ada di antara kami yang masih belum bersarapan lagi kami singgah sebentar di Kedai Roti Canai Simpang Pertang untuk bersarapan. Kami meneruskan lagi perjalanan menuju ke Karak sehingga ke Bandar Temerloh. Sepanjang perjalanan dari Kuala Lumpur ke Temerloh cuaca agak panas terik dan aliran trafik sangat baik.
Kami tiba di lokasi pada pukul 2.30 petang. Setibanya di sana pengujung sudah ramai beratur dan makan. Kami mula beratur untuk mendapatkan lauk ikan patin yang telah dinanti-nantikan. Kedai makan Selera Patin Bangau terletak di Kampung Bangau Tanjung, Temerloh Pahang dan lokasinya yang agak tersorok sedikit di dalam kawasan kampung. Sepanjang perjalanan ke Patin Bangau kami dapat melihat sangkar-sangkar ikan patin di tepi sungai Temerloh. Kuah tempoyak yang pekat dan isi daging ikan patin sangkar kampung menjadikan kedai makan ini digemari setiap pengujung yang datang bukan sahaja dari Pahang tetapi juga dari Kuala Lumpur. Walaupun rasanya agak pedas tetapi kami habiskan juga lauk gulai tempoyak sehingga licin. Rahsia kelazatannya terletak di ikan patin yang segar dari sungai Pahang. Saya dan beberapa rakan yang lain tidak melepaskan peluang untuk memesan lauk ikan patin gulai tempoyak untuk di bawa pulang. Selain rasanya yang sangat sedap harganya juga sangat berpatutan. Nak tahu sedap tak sedap anda kena datang dan mencubanya sendiri.
Selesai sahaja makan kami singgah sebentar ke Masjid berdekatan untuk solat zuhur. Destinasi terakhir kami adalah kedai menjual ikan patin segar di Kampung Raja Temerloh. Selain patin terdapat juga talapia dan baung. Ikan patin yang segar dan asli dari Sungai Pahang ini tidak dapat ditandingi dari segi rasanya. Menurut rakan-rakan yang pernah membeli patin segar di sini rasanya amat sedap dan tidak berlumut atau hanyir seperti ikan yang dibeli tempat lain. Sebab itulah harga ikan patin Sungai Pahang mahal jika dibandingkan dengan ikan patin lombong yang dijual di pasar Kuala Lumpur. Harga sekilo untuk patin sangkar Sungai Pahang adalah RM17 sekilo. Walaupun harganya agak mahal tetapi sambutan terhadap patin asli tetap menjadi pilihan. Kami membeli ikan patin untuk dibawa pulang. Setelah puas memilih patin segar di Kampung Raja, kami terus bergerak pulang ke Kuala Lumpur pada pukul 4.00 petang melalui Lebuhraya Utara-Selatan.
Sepanjang perjalanan pulang aliran trafik berjalan dengan lancar. Kami tiba dengan selamat dan konvoi tamat pada pukul 6.30 petang.