Tiada salahnya jika kita mahu anak kita berjaya dalam apa jua yang diceburinya, tetapi jangan biarkan kejayaan dicapai dengan mengenepikan sikap yang bernilai. Amat mudah untuk kita menunjuk-nunjuk tentang kaliber seseorang, tetapi apa yang sebenarnya lebih penting adalah karakter seseorang itu. Kita tahu banyak orang yang mempunyai kemahiran, kekuatan dan kelayakan, tetapi mereka berdepan dengan kesukaran membina perhubungan yang bermakna dengan orang sekeliling.
Membandingkan pencapaian anak-anak tidak akan menambah baik hubungan kita dengan mereka. Memang penting untuk anak-anak mempunyai akademik yang cemerlang tetapi lebih penting untuk mereka mempunyai sahsiah diri yang terpuji. Memang penting untuk mereka memiliki keupayaan intelektual, tetapi hari ini yang lebih bernilai dalam kehidupan adalah mempunyai kecerdasan emosi.
Nilai keibubapaan kita bukan didefinisikan sebagai berapa yang ada dalam akaun bank anak-anak kita. Keibubapaan kita juga tidak dinilai dengan berapa skor ujian yang mereka perolehi di sekolah. Kejayaan ibu bapa bukan berdasarkan kepada jenis kereta yang akan mereka pandu nanti.
Masa depan kita bukan berasaskan bagaimana orang lain melihat mereka. Walaupun orang lain fikir anak kita sempurna pencapaiannya, ia tidak akan memberi apa-apa makna kepada kehidupan kita. Ia hanya mungkin menggalakkan rasa sedikit riak atau membuatkan kita rasa ego atau yakin untuk seketika. Fikirkan. Jika di masa depan anak-anak tidak memiliki gaji besar, kemasyhuran dan kuasa, adakah kita akan tetap gembira dengan siapa anak kita? Adakah kita tetap akan bersyukur dengan kemenjadian mereka?
Sebenarnya, apa yang lebih utama adalah hubungan yang kita ada dengan anak-anak. Mungkin kita tidak rasa itu penting sekarang ini. Tunggu. Apabila kita semakin dimamah usia nanti, masa itu baru kita akan sedar.
Wallahualam.